Iklan

Iklan

Pemberontak dalam kalangan Hamas gugat pelan damai Trump di Gaza

11/10/25, 21:27 WIB Last Updated 2025-11-10T14:27:30Z

BAITULMAQDIS - Tindakan hampir 200 pejuang Hamas yang bersembunyi di kawasan yang dikuasai Israel di Jalur Gaza dan enggan menyerah diri, menggugat pelaksanaan pelan damai Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump. Gencatan senjata yang hampir sebulan berkuat kuasa itu telah tergugat dua kali oleh serangan udara Israel sebagai tindak balas terhadap serangan hendap terhadap tenteranya di sekitar bandar Rafah di selatan Gaza yang didakwa dilakukan Hamas.



Kumpulan pejuang Palestin itu pada awalnya menafikan ada pejuangnya yang masih berada di belakang 'Garis Kuning' di mana tentera Israel telah dikerahkan semula sebagai sebahagian daripada perjanjian, manakala Trump mendakwa mungkin ada anggota Hamas yang bertindak sendirian tanpa arahan rasmi.




Pada 9 November, Hamas berkata Israel 'bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pertembungan dengan pejuangnya di Rafah yang mempertahankan diri di kawasan di kawalannya. Hamas menggesa negara-negara perantara yang cuba memupuk keamanan berpanjangan untuk 'mencari penyelesaian bagi memastikan gencatan senjata berterusan dan menghalang musuh menggunakan alasan remeh untuk melanggarnya'.



Tentera Israel pula berkata beberapa puluh penembak masih berada di kawasan Rafah, di mana rangkaian terowong Hamas masih wujud, daripada beberapa ratus yang dipercayai bersembunyi di belakang 'Garis Kuning'. Sebaliknya, Hamas dan kumpulan pejuang Palestin yang lebih kecil memiliki kira-kira 15,000 penembak, menurut penilaian tentera Israel.


Di bawah fasa pertama perjanjian Trump, Hamas sepatutnya menyerahkan kesemua tebusan yang masih berada dengannya di Gaza dalam tempoh 72 jam, manakala Israel berikrar meningkatkan bekalan bantuan kemanusiaan. Bagaimanapun, kedua-dua syarat itu masih belum dipenuhi. Hamas masih menyimpan lima mayat tebusan dan menyerahkan satu mayat semalam.


Persoalan lebih besar timbul bagi fasa kedua yang memerlukan Hamas menyerahkan senjata dan menyerahkan kuasa kepada pentadbiran interim dikawal oleh pakar Palestin di bawah pengawasan antarabangsa. Bagaimanapun Hamas menolak langkah itu, sekali gus menerima ancaman Israel untuk menyambung semula serangan di Gaza yang telah meragut puluhan ribu nyawa di wilayah pesisir itu.




Prospek berdepan pejuang Palestin yang masih bersenjata juga boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan pasukan pengaman antarabangsa yang dirancang untuk Gaza.


Utusan Trump ke Asia Barat, Steve Witkoff, berkata janji pengampunan dalam perjanjian kepada ahli Hamas yang meletakkan senjata dan berjanji hidup secara aman dengan Israel mungkin kini diuji dalam skala kecil.


"Kita mungkin melihat model yang boleh dilakukan di sini atau apa diharap boleh dilakukan di sini, melalui 200 pejuang terperangkap di Rafah ini, sama ada mereka akan menyerah diri, keluar dan menyerahkan senjata mereka," katanya pada satu persidangan di Florida minggu lalu.


Witkoff dan Jared Kushner, menantu Trump, dijadual tiba di Israel untuk lawatan hari ini, lapor media tempatan, namun kedua-dua pihak yang berkonflik dilihat tetap bertegas. 


Hamas berkata Israel 'mesti tahu konsep menyerah dan menyerahkan diri tidak wujud dalam kamus Briged Al-Qassam', merujuk kepada sayap bersenjatanya.


Menteri Tenaga Israel dan anggota Kabinet keselamatan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, Eli Cohen, memberitahu radio Kan semalam bahawa penembak di Rafah 'sama ada mesti dihapuskan atau keluar hanya berpakaian dalam sambil membawa bendera putih'. Pelan AS turut menawarkan peluang berhijrah ke negara lain kepada ahli Hamas yang sudah 'dipulihkan'.


Langkah itu menimbulkan spekulasi di Israel bahawa penembak-penembak itu akan diberi laluan selamat ke kawasan yang dikuasai Hamas di Gaza, mungkin sebagai pertukaran bagi penyerahan segera mayat tebusan. Hamas berkata mayat yang diserahkan semalam, adalah seorang tentera yang terbunuh di Gaza pada 2014, ditemui di Rafah. [Tuan Muhammad Akma Asyraaf]

Sumber : BH berita harian

Komentar
Komentar sepenuhnya menjadi tanggung jawab komentator seperti diatur dalam UU ITE. #JernihBerkomentar
  • Pemberontak dalam kalangan Hamas gugat pelan damai Trump di Gaza

Terkini

Topik Populer

Iklan